Tuah dengar cakap isteri, jurukimpal bawa pulang RM30,000

PONTIAN: Dorongan isteri membawa tuah kepada seorang jurukimpal apabila membawa pulang wang tunai RM30,000 selepas muncul juara pertandingan memancing di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak, di sini, hari ini.

Pertandingan memancing tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dianjurkan oleh Pejabat Daerah Pontian dengan kerjasama d Joran Bagus berjaya menarik penyertaan 1,600 peserta.

Mohd Amir Syafiq Hamdan, 29, beralamat di Kampung Kayu Ara Pasong berjaya menaikkan ikan kurau seberat 3.67 kilogram pada pukul 11.20 pagi di persisiran Pantai Pusat Perdagangan Pontian.

Katanya, sepanjang acara ini, dia ditemani isterinya, Siti Aishah Shamsudin, 29, yang mengambil cuti bertugas di sebuah stesen minyak di bandar Pontian dan tidak menyangka membawa tuah pada hari ini.

“Isteri saya suruh masuk pertandingan memancing ini, saya menggunakan udang kopek dan tunggu selama tiga jam selepas pertandingan dimulakan pada pukul 8.30 pagi nyata berbaloi walaupun cuaca panas terik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampian hadiah oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian, Mohd Haziq Abd. Latiff. Turut hadir, Pengarah Urusan d Joran Bagus, Azmi Nan.

Tambah Mohd Amir Syafiq, kemenangan pada hari ini merupakan kali pertama dimenangi walaupun sebelum ini pernah menyertai pertandingan memancing bagi mengisi hobi pada hujung minggu. – KOSMO! ONLINE

More From Author

Bedah siasat Zara Qairina dijangka selesai selewatnya malam ini

Liga Super buka tirai, Cklamovski mula buat penilaian