PUTRAJAYA: “Rezeki tidak pernah salah alamat…”. Itu ungkapan yang menjadi sandaran aktres veteran, Wan Maimunah, 68, tatkala memilih untuk berehat daripada dunia seni selepas melalui pengalaman pahit ditipu sebuah syarikat produksi.
Meskipun hasil titik peluhnya menjayakan sebuah drama tidak pernah dibayar, pelakon yang mesra disapa Ibu itu enggan menuding jari, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah SWT.
“Selepas menunaikan ibadah haji tahun lalu, saya sudah nekad mahu berehat. Hati saya terlalu sedih kerana kerap ditipu orang.
“Ada drama saya berlakon, tetapi bayaran langsung tidak diterima. Namun saya yakin, rezeki daripada Allah tidak akan pernah tersalah alamat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Kejohanan Golf Amal PEKEMA 2025 di Hotel Marriot, malam tadi.
Wan Maimunah yang sinonim dengan gelaran pelakon air mata berkata, meskipun pernah bertekad tidak akan menghalalkan penipuan itu, hatinya kini lebih tenang selepas memilih untuk memaafkan.
“Dulu saya pernah kata, walau satu sen pun saya takkan halalkan dunia akhirat. Tetapi Allah beri hidayah, saya halalkan sahaja. Saya serah pada Allah dan berdoa agar mereka diberi kesedaran,” katanya dengan nada sebak.
Tambahnya, ada pihak termasuk Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, yang bertanya mengenai identiti produksi culas itu. Namun beliau tetap teguh untuk tidak mendedahkan siapa di sebalik kisah hitam itu.
“Saya tidak mahu buka aib orang. Kalau saya beritahu, mungkin akan menutup rezeki mereka. Biarlah Allah sahaja yang membalasnya,” katanya.
Malam tadi, Wan Maimunah antara penggiat seni yang menerima sumbangan sempena penganjuran Kejohanan Golf Amal PEKEMA 2025 anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN). – BH
