KEPALA BATAS: Pemilik kedai perkakasan, di sini yang mencetuskan kontroversi berhubung isu bendera terbalik menegaskan bahawa dia mengakui akan kesilapannya, malah bersedia menghadapi apa jua tindakan perundangan yang akan diambil terhadapnya.
Menurut Pang Chin Tiang, 59, dia setiap tahun tidak pernah terlepas memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di premisnya yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan demi menyemarakkan semangat cintakan negara.
Bagaimanapun katanya, tahun ini berlaku kesilapan yang tidak disengajakan namun dia bersedia bertanggungjawab dan menanggung segala akibat daripada perbuatannya itu.
“Perkara ini (pasang bendera terbalik) bukan sengaja berlaku tetapi ada sedikit (salah), masa itu belum lagi ikat (pasang) dan terus saya ambil tangga pergi ubah.
“Namun tidak mengapa, saya punya kes sekarang bagi polis siasat… Apa saja keputusan saya terima dan tanggung akibatnya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Chin Tiang dikunjungi EXCO Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye yang hadir ke premis berkenaan bagi meninjau pemasangan Jalur Gemilang gergasi yang ditaja oleh DAP.
Dalam pada itu, Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi turut mengedarkan 500 Jalur Gemilang kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Chin Tiang berkata, dia akan terus memasang Jalur Gemilang di hadapan premisnya pada tahun-tahun akan datang kerana tidak pernah terlepas berbuat demikian sebelum ini.
“Kesilapan ini memang ada rasa takut (fobia) sikit tetapi saya (rakyat) cintakan Malaysia dan mau pasang lagi,” katanya.
Chin Tiang yang ditahan polis pada hari kejadian telah dibebaskan dengan jaminan sehari selepas itu.
Siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media pada Sabtu lalu melaporkan permohonan maaf pemilik premis itu yang mengakui kesilapannya sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat di seluruh negara.
Ia selepas beberapa platform media sosial semalam tular rakaman berdurasi 21 saat memaparkan tindakan pemilik kedai mengibarkan Jalur Gemilang yang dipasang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik sebelum seorang pekerjanya bertindak merakam aksi berkenaan.
Perbuatan terbabit mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mahu tindakan diambil susulan kejadian seumpama itu dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya ketika negara akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-68. – BH
