Pemuda Pas, Armada perkukuh kerjasama jayakan misi PN Teraju Pahang

KUANTAN: Pemuda Pas Pahang dan Armada Pahang komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam menjayakan Misi Teraju Pahang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Pahang, Zulfadli Zakariah berkata, gabungan kekuatan tenaga muda daripada pelbagai latar belakang adalah aset penting untuk membina Pahang yang maju dan sejahtera.

“Justeru, pelbagai program bersama akan dirangka, termasuk agenda pendidikan politik, advokasi isu-isu rakyat, pengukuhan jentera pilihan raya, serta pembangunan ekonomi belia.

“Fokus utama kami adalah memastikan rakyat Pahang mendapat pentadbiran yang benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat, mengutamakan kebajikan, dan membangunkan negeri ini dengan sumber yang ada secara berhemah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu wakil Pemuda Pas dan Armada Pahang juga telah duduk semeja berbincang mengenai komitment mereka hari ini.

Jelasnya, kerjasama ini dibina atas asas kepentingan rakyat, khususnya anak muda, bagi memastikan Pahang dipimpin oleh kepimpinan yang bersih, berintegriti, dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

“Dengan izin Allah, gabungan ini akan menjadi kuasa baharu yang mampu mengubah landskap politik Pahang ke arah lebih baik.

“Anak muda bukan sekadar penonton kami adalah penggerak perubahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

More From Author

‘Saya cintakan Malaysia, nak pasang lagi Jalur Gemilang’- pemilik premis perkakasan tular bendera terbalik

‘Saya ambil tali, ikat suspek supaya dia tak lari’