JERANTUT: Seorang remaja perempuan maut manakala lima yang lain cedera dalam nahas membabitkan lori sarat muatan sawit dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Jerantut-Lipis dekat Kampung Besul di sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan pada jam 11.44 pagi.
Katanya, lori sawit yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis ke Jerantut, bertembung dengan SUV dinaiki lima sekeluarga.
“Kemalangan menyebabkan seorang gadis berusia 14 tahun yang juga penumpang SUV terbunuh manakala pemandu dan tiga penumpang lain termasuk dua kanak-kanak perempuan tercedera.
“Lori sawit itu terbabas ke kanan jalan, menyebabkan pemandunya turut tercedera,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Zulfadzli berkata, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan manakala mayat remaja berkenaan turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
“Identiti mangsa sedang disahkan manakala punca kemalangan sedang disiasat polis,” katanya. – BH
