Kertas siasatan Zara Qairina dirujuk semula ke AGC esok – JSJ Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan merujuk semula kertas siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir ke Pejabat Peguam Negara (AGC), esok.

Pengarahnya, Datuk M Kumar, berkata ia bertujuan mendapatkan nasihat dan arahan susulan, hasil siasatan lanjut pihaknya.

Katanya, Pasukan Khas JSJ Bukit Aman sudah melengkapkan proses siasatan tambahan bagi memperkemas fakta kes terbabit, termasuk memanggil ratusan saksi termasuk warga sekolah.

“Sehingga kini, seramai 195 saksi diambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Ia membabitkan pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan saksi lain yang berkaitan.

“Kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC pada 18 Ogos (esok) bagi mendapatkan arahan dan nasihat selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu.

Pada 1 Ogos lalu, ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan demi mendapatkan jawapan dan keadilan, manakala peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.

Susulan itu, AGC memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan pada 9 Ogos lalu.

Laporan Bukit Aman menyatakan, dapatan bedah siasat ke atas Allahyarham selari dengan diagnosis awal iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak konsisten dengan jatuh.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, siasatan polis bertumpu kepada dua fokus utama iaitu berkaitan inkues dan kemungkinan wujudnya unsur jenayah lain seperti kejadian buli serta penularan berita palsu.

“PDRM menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian awam.

“Kita beri jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya. – BH

More From Author

Remaja maut, lima cedera nahas lori sawit bertembung SUV

Pengurusan kes titah adendum Najib disebut di Mahkamah Tinggi esok