Pengurusan kes titah adendum Najib disebut di Mahkamah Tinggi esok

KUALA LUMPUR: Prosiding pengurusan kes permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak bagi memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum akan disebut di Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Berdasarkan semakan dalam laman web mahkamah, sesi pengurusan kes akan berlangsung di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya pada 13 Ogos lalu mengarahkan prosiding itu dipercepatkan dan mahu pendengarannya dimulakan dalam tempoh sebulan.

Semakan kehakiman ‘tergantung’ lebih setahun sejak difailkan pada 1 April 2024.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, mengembalikannya ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan, selepas menolak rayuan Peguam Negara yang mahu menghalang Najib daripada memulakan permohonan berkenaan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah turut mengarahkan pihak berkaitan memfailkan penghujahan bertulis secara serentak.

Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 23 Ogos 2022 atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Susulan itu, beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta yang menjangkakan Najib dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu pernah memfailkan semakan kehakiman mendapatkan perintah bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Dalam permohonannya, Najib, 72, mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu supaya kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Jika perintah bertarikh 29 Januari 2024 itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Di Mahkamah Sesyen Putrajaya esok, selebriti Naim Daniel berdepan pertuduhan kes seksual terhadap seorang remaja perempuan.

Pada 3 Jun lalu, selebriti itu disiasat susulan polis menerima laporan daripada ibu seorang remaja mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa gangguan seksual selepas mengenali suspek di sebuah kafe tempat gadis terbabit bekerja. – BH

More From Author

Kertas siasatan Zara Qairina dirujuk semula ke AGC esok – JSJ Bukit Aman

Polis buka kertas siasatan kes dua pelajar perempuan bergaduh di sekolah