JOHOR BAHRU: Seorang pekebun serai berstatus Pemastautin Tetap (PR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menyeludup enam warga Indonesia di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, dua bulan lalu.
Tertuduh, Salim Ahmad, 61, yang juga berasal dari Indonesia membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menjalankan penyeludupan migran membabitkan enam lelaki warganegara Indonesia berusia antara 25 hingga 47 tahun di kaunter 04, Zon C, Kawalan Kereta Keluar di BSI pada pukul 6 pagi, 14 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 26A Αkta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Imigresen, Nur Suriati Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh adalah warganegara asing.
Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Majestic
