NEW YORK: Qatar, Arab Saudi dan Mesir antara 17 negara, bersama Britain, Perancis serta Kanada, yang menandatangani deklarasi menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Palestin.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas persidangan peringkat tinggi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel dan menuntut pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menyifatkan langkah itu sebagai bersejarah memandangkan ini adalah kali pertama kuasa Arab utama secara terbuka menentang Hamas dan menggesa kumpulan itu dilucutkan kuasa.
Deklarasi itu menyeru Hamas untuk menyerahkan senjatanya kepada pihak berkuasa Palestin, sebagai sebahagian daripada usaha untuk penyelesaian dua negara.
Setiausaha Luar Britain, David Lammy menyokong kenyataan bersama di PBB, dengan berkata Hamas tidak boleh diagungkan susulan serangan dahsyat pada 7 Oktober.
“Mereka mesti segera membebaskan tebusan, bersetuju dengan gencatan senjata serta-merta, menerima hakikat mereka tidak akan mempunyai peranan dalam mentadbir Gaza dan komited untuk pelucutan senjata,” kata kenyataan itu.
Agensi PBB memberi amaran bahawa krisis di Gaza adalah angkara buatan manusia yang menyebabkan kebuluran besar-besaran, dengan lebih 100 orang dipercayai mati akibat kekurangan zat makanan.
Israel dipersalahkan mengakibatkan krisis itu kerana menyekat kemasukan semua bekalan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu manakala Israel menuduh Hamas mencuri bantuan itu.
Hampir 900 orang awam, termasuk kanak-kanak dilaporkan dibunuh oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika beratur untuk mendapatkan makanan di tapak bantuan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang dikawal oleh Israel.
Warga Palestin Abu Abel memberitahu media pengawal melepaskan tembakan ke arah sesiapa sahaja yang melangkah keluar dari barisan.
“Tiada amaran. Berjauhan beberapa sentimeter, dan mereka menembak untuk membunuh, menyasarkan ke kepala atau dada,” katanya.
Pengisytiharan terbaru itu juga menggesa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk komited secara terbuka kepada penyelesaian dua negara.
Deklarasi itu turut menggesa penempatan misi penstabilan antarabangsa sementara di Gaza sebaik sahaja perang berakhir, di bawah kuasa PBB dan dengan sokongan serantau.
Israel dan Amerika Syarikat (AS) tidak menghadiri persidangan PBB itu mahupun menandatangani deklarasi itu.
Sementara itu, saingan serantau Arab Saudi, Iran yang menaja Hamas dan kumpulan lain, menentang sebarang usaha menjalin hubungan diplomatik antara Israel dan jiran Arab.
Antara objektif kekejaman 7 Oktober (2023) dipercayai dilancarkan untuk mengganggu rundingan antara Arab Saudi dan Israel.
Awal bulan ini, sumber Hamas memberitahu media Arab Saudi bahawa kumpulan itu bersedia untuk meletakkan senjata sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, walaupun ia mungkin menghadapi tentangan hebat dari dalam kumpulan itu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, minggu lalu berkata negaranya akan mengiktiraf kenegaraan Palestin, sebagai sebahagian daripada tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kedua-dua pihak untuk bergerak ke arah perjanjian damai yang telah lama tertangguh.
Walaupun berdekad-dekad sokongan global untuk penyelesaian dua negara, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengakui minggu ini prospek itu masih perlu menempuh perjalanan lebih jauh berbanding sebelumnya.
Wakil Trump ke Gaza
Sementara itu, wakil Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, pada Khamis sebelum turun padang sendiri bagi memeriksa krisis kemanusiaan bantuan di Gaza.
Kekurangan kritikal makanan dan kebuluran mendorong tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel untuk menyetujui gencatan senjata.
Steve Witkoff, yang sudah beberapa bulan terbabit dalam rundingan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan, bertemu Netanyahu sejurus selepas tiba di Israel. Beliau dijadualkan melawat Gaza hari ini.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, memberitahu pemberita Witkoff, yang melawat Gaza Januari lalu, akan memeriksa tapak pengedaran bantuan untuk merancang penghantaran lebih banyak bantuan. – AGENSI
