MyCare-Econsave sumbang motosikal roda tiga, kedai runcit kepada keluarga miskin Kabul

GHORBAND, Kabul (Afghanistan): Berikan joran untuk memancing, bukan berikan ikan untuk dimasak dan terus dimakan. 

Itulah strategi digunakan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan Pasaraya Econsave Cash & Carry menerusi projek memperkasakan ekonomi bagi membantu penduduk miskin di Afghanistan menyara kehidupan keluarga.

Projek Pemerkasaan Ekonomi Keluarga adalah salah satu fokus misi bantuan kemanusiaan yang membabitkan kerjasama Econsave dan MyCare bagi meringankan beban keluarga yang berdepan kesusahan dan kemiskinan di negara-negara yang dilanda konflik dan peperangan seperti di Afghanistan.

Projek berkenaan bertujuan mewujudkan peluang bagi keluarga miskin, terutamanya yang terjejas dengan konflik dan peperangan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan kekal dan stabil dalam bidang-bidang yang bersesuaian dengan minat serta kebolehan mereka.

Penasihat MyCare Johor, Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, projek serupa  telah dilaksanakan oleh MyCare dan Econsave di negara berkonflik lain seperti di Syria, Yaman dan Gaza, sebelum ini.

Beliau  yang mengetuai Misi Kemanusiaan Afghanistan MyCare-Econsave 2025 berkata, projek itu diilhamkan sejak pelancaran kerjasama MyCare-Econsave yang dimeterai di Senai, Johor pada 2022.

Di Afghanistan, dua projek perintis di bawah Projek Pemerkasaan Ekonomi Keluarga dilaksanakan, iaitu Projek Motosikal Roda Tiga dan Projek Kedai Runcit.

Lima buah motosikal roda tiga berkuasa 200cc yang sudah siap diubah suai diserahkan kepada lima penerima di bandar Ghorband dalam Provinsi Parwan di utara Kabul. 

Setiap unit motosikal yang dilengkapi ruang kargo di belakangnya itu bernilai RM10,850 membabitkan jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan Econsave-MyCare bagi projek ini ialah sebanyak RM54,200.

Pemilihan penerima bantuan menerusi projek perintis itu dilakukan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Afghanistan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara berkenaan, Human Assistance Society (HAS).

Pemilihan dan tapisan yang ketat telah dilakukan oleh HAS. Lima penerima motosikal roda tiga yang terpilih adalah pemuda yang mengambil alih tugas ketua keluarga setelah bapa mereka terkorban dalam konflik pencerobohan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan. 

Kebanyakan mereka adalah anak sulung dan kini  menyara ibu dan adik-beradik yang lain.

Kenderaan itu digunakan bagi mengambil upah mengangkut barang-barang oleh para peniaga atau barangan pertanian dari pedalaman untuk dihantar ke pekan Ghorband dan sekitarnya.

Menerusi Projek Kedai Runcit pula, tiga keluarga dipilih untuk menerima bantuan modal daripada MyCare-Econsave bagi memulakan perniagaan yang dijangka boleh menjana pendapatan stabil dan berterusan bagi menyara keluarga.

Mohd. Zin berkata, dalam Misi Kemanusiaan Afghanistan 2025 ini, MyCare-Econsave melancarkan projek rintis kedai runcit untuk tiga keluarga di bandar Ghorband.

Dengan peruntukan RM7,230 diberikan kepada setiap pekedai, ia boleh menyediakan perabot asas seperti rak kedai, barang-barang jualan dan sewa kedai untuk tempoh empat bulan. 

Penerima bantuan perlu mengurus jualan seharian untuk dikumpul dan digunakan bagi membeli semula stok barang-barang niaga dan membayar sewa bulanan mulai bulan kelima. 

Keuntungan bersih daripada jualan itu boleh digunakan bagi menyara keluarga masing-masing. 

MyCare dan Econsave merayu rakyat Malaysia agar terus menyumbang kepada tabung kemanusiaan negara yang dilanda konflik dengan memasukkan wang derma ke dalam tabung yang disediakan di semua pasar raya Econsave di seluruh negara. – Majestic

More From Author

27 warga asing ditahan dalam Ops Selera

KPM jamin sekolah asrama di bawah kendaliannya selamat – Fadhlina