KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
MCMC memberitahu siasatan tersebut melibatkan kandungan sebuah akaun TikTok yang mengaitkan beliau dengan satu dakwaan berhubung subsidi bersasar RON95.
“Fokus siasatan adalah bagi mengesahkan konteks kandungan yang disiarkan, dan tidak melibatkan sebarang dakwaan atau pertuduhan terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagi melengkapkan siasatan, MCMC akan memanggil mana-mana individu yang berkaitan sekiranya perlu.
MCMC menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi, serta memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan secara bebas, berhemah dan profesional.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat berkenaan isu yang terpalit dengan Muhyiddin.
Pada masa sama, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberitahu, Anwar turut mengarahkan supaya tindakan sewajarnya diambil berkaitan kes yang menjadi perhatian ramai itu.
Terdahulu, Muhyiddin menafikan beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Dalam satu perkongsian di laman media sosialnya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Perikatan Nasional konsisten sejak dahulu bahawa manfaat pelaksanaan subsidi harus diberikan keutamaan terhadap kepentingan rakyat.
Justeru Muhyiddin menggesa Anwar untuk membuktikan bahawa beliau pernah membuat kenyataan seperti itu, atau membuat permohonan maaf.
Sewaktu sidang Dewan Rakyat, Anwar dilaporkan sebagai berkata, beliau menerima laporan ada Ahli Parlimen daripada pembangkang yang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid bangkit meminta Perdana Menteri untuk mendedahkan identiti sebenar ahli Parlimen yang didakwa berbuat demikian.
Bagaimanapun Anwar berkata, Rosol sepatutnya membaca terlebih dahulu kenyataan yang didakwa daripada Muhyiddin berhubung perkara tersebut. – Majestic
