KUALA LUMPUR: Laporan polis termasuk aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dilakukan berkenaan beberapa video yang tular di media sosial memburuk-burukkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini susulan video-video berkenaan dilihat sebagai usaha menghasut kepada perkara tidak betul dan tak memberi manfaat kepada TH.
“Saya maklum tentang beberapa video yang berlegar, yang mungkin akan memberi kesan, ada yang mengajak umat Islam di Malaysia ini keluar simpanan Tabung Haji.
“Hasutan-hasutan sebegini tidak memberi manfaat atau pun kebaikan kepada usaha untuk kita mempertahankan Tabung Haji ini.
“Dalam konteks itu, di pihak kerajaan kita akan meneliti dan tindakan telah diambil contohnya aduan telah dikemukakan kepada MCMC, laporan polis juga telah dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Na’im menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang menyatakan kegusaran terhadap situasi di media sosial berhubung situasi semasa TH.
Sehubungan itu, jelasnya, buat masa ini, pihak beliau memberi tanggungjawab penuh kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang didapati bersalah.
Beliau pada masa sama meminta untuk semua pihak sama-sama menjaga TH, ini kerana tanpa kerja sama baik usaha untuk melihat organisasi tersebut terus membangun bakal terbantut. – Majestic
