Chelsea buat jualan gudang, lelong sembilan bintang

LONDON: Raheem Sterling merupakan salah seorang daripada sembilan pemain Chelsea yang akan dilepaskan sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup, menurut satu laporan.

Sterling baru sahaja menamatkan musim yang mengecewakan ketika dipinjamkan ke Arsenal musim lalu dan masih mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya bernilai £325,000 (RM1.8 juta) seminggu.

The Telegraph melaporkan pemain itu dan Chelsea lebih gemar mencari ‘penyelesaian kekal mengenai masa depannya’ tetapi satu lagi perpindahan secara pinjaman juga merupakan kemungkinan.

Dia hanyalah sebahagian daripada kelompok besar pemain yang mahu dilepaskan oleh kelab London itu dalam jualan besar menjelang hujung jendela perpindahan.

Chelsea sedang berusaha mengatur penjualan atau pinjaman buat Christopher Nkunku, Nicolas Jackson, Renato Veiga, Axel Disasi, Carney Chukwuemeka, Ben Chilwell dan kemungkinan Tyrique George dalam tempoh dua minggu akan datang.

Terdapat juga minat terhadap pertahanan Argentina, Aaron Anselmino daripada kelab di Eropah.

Chelsea percaya mereka akan berjaya mengumpul sekitar £300 juta (RM1.7 bilion) daripada penjualan pemain sebaik sahaja jendela ditutup, menjadikan perbelanjaan bersih mereka hampir sifar.

Fulham antara kelab yang sudah menyatakan minat terhadap Sterling, yang difahamkan lebih suka kekal di London, yang mana keluarganya lebih selesa.

West Ham dan Crystal Palace dua lagi pasukan yang berpangkalan di ibu kota yang turut dikaitkan dengan perpindahan pemain sayap itu.

Pemain berusia 30 tahun itu masih terbuka untuk mempertimbangkan kelab lain di EPL manakala kelab luar negara juga sedang memantau situasinya.

Sterling difahamkan sudah dimaklumkan oleh Enzo Maresca dia tidak akan digunakan oleh juara Piala Dunia Kelab itu musim ini, malah dia tidak mempunyai profil atau gambar dalam bahagian pasukan utama di laman sesawang kelab.

Bekas bintang Manchester City itu menyertai Chelsea pada musim panas 2022 selepas menandatangani perjanjian bernilai £47.5 juta (RM270 juta) tetapi bergelut dengan prestasi dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Dia menyertai Arsenal pada hari akhir perpindahan musim panas lalu tetapi hanya menjaringkan satu gol dalam 28 penampilan.

Pasukan kendalian Maresca menandatangani beberapa penyerang ternama termasuk Jamie Gittens, Liam Delap dan Joao Pedro, sekali gus menyaksikan nama Sterling semakin jauh daripada perancangan.

Dia kini berlatih jauh daripada skuad utama.

Juara Piala Dunia Kelab itu akan cuba menyelesaikan perpindahan buat Xavi Simons dan Alejandro Garnacho sebaik sahaja masa depan Jackson dan Nkunku dimuktamadkan. – AGENSI

More From Author

Mangsa buli alami gegaran otak kini stabil, dibenarkan pulang

Doakan suami dapat kerja pun kena pukul