Tak pakai tali pinggang keledar, 510 pemandu, penumpang bas dikompaun

AMPANG JAYA: Seramai 510 pemandu dan penumpang diberi notis kompaun selepas dikesan gagal memakai tali pinggang keledar, menerusi Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bermula 1 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 80 notis dikeluarkan terhadap pemandu bas ekspres, bas persiaran dan kenderaan perdagangan.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sejak operasi berkenaan dilancarkan sehingga semalam (5 Julai), seramai 396 penumpang dan kelindan turut diberikan notis kompaun RM300.

“JPJ turut mengeluarkan 37 notis peringatan kepada mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar atau memasang tali pinggang keledar terhadap penumpang bas ekspres dan bas persiaran.

“Semua kesalahan yang dikesan ini adalah membabitkan 377 pemandu dan penumpang bas ekspres, 70 pemandu dan penumpang bas persiaran dan 63 pemandu serta kelindan kenderaan barangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lesen Memandu, Program MyLesen B2, di sini, hari ini.

Aedy Fadly berkata, pemandu bas ekspres atau persiaran juga boleh dikenakan kompaun sekiranya gagal memastikan penumpang mereka tidak memakai tali pinggang keledar.

“Mereka (pemandu) seharusnya mengingatkan penumpang sebelum bas memulakan perjalanan.

“Adalah menjadi kesalahan sekiranya pemandu tidak mengingatkan penumpang.

“JPJ boleh melihat atau memeriksa tindakan terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam bas atau mendapatkan pengesahan daripada penumpang sendiri,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini JPJ sudah membuat sesi libat urus di seluruh negara dengan semua pengusaha bas bagi memastikan pemandu dan penumpang mematuhi setiap peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

Sebelum ini, JPJ telah mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran bermula 1 Julai, membabitkan bas yang dibina selepas Januari 2020.

Bagi bas yang dibina sebelum 2020, tempoh masa akan diberikan untuk pemasangan tali pinggang keledar. – BH

More From Author

Lelaki cedera diserang haiwan liar dipercayai kucing tulap

Bekas pemain Getafe sertai JDT