KUALA LUMPUR: Selepas mengikat Joao Figueiredo, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan bekas pemain Boca Juniors dan Getafe, Jonathan Silva pula sebagai rekrut terbaharu mereka.
Pengumuman itu dibuat JDT menerusi laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers hari ini dengan Silva menjadi pemain baharu yang kelapan diumumkan JDT bagi menghadapi musim 2025-2026.
Bintang berusia 31 tahun yang pernah mewakili skuad kebangsaan Argentina itu bakal memperkuatkan benteng Harimau Selatan yang akan mengharungi jadual padat musim depan.
Skuad Harimau Selatan dilihat memerlukan skuad besar bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
Pagi tadi, JDT mengumumkan Figueiredo yang juga pemain warisan Harimau Malaya sebagai tonggak baharu mereka bagi mengharungi musim 2025-2026.
Sebelum ini, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu sudah mengumumkan ketibaan Jon Irazabal, Hector Hevel, Antonio Glauder, Ibrahim Manusi, Jairo Da Silva dan Moussa Sidibe. – BH
