KUALA LUMPUR: Dua syarikat pengeluar ais dan makanan sejuk beku bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan harga produk jualan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia dicapai selepas pihak kementerian memberi nasihat dalam pertemuan bersama wakil syarikat berkenaan pada Selasa lalu.
“Kedua-dua syarikat telah dipanggil ke KPDN dan memaklumkan bahawa mereka akan menangguhkan terlebih dahulu kenaikan harga kepada suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa pada Khamis.
Menurutnya, kedua-dua syarikat memberikan alasan bahawa peningkatan kos operasi menjadi punca kepada cadangan kenaikan harga jualan.
“Ia tiada kaitan dengan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Kami telah memberikan nasihat kepada mereka bahawa sekiranya benar ingin menaikkan harga tersebut, syarikat perlu mengemukakan maklumat tertentu kepada KPDN melalui Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723),” jelas Armizan.
Beliau menegaskan bahawa KPDN akan melaksanakan langkah pemantauan dan siasatan secara telus bagi menangani sebarang unsur pencatutan, sekali gus memastikan pengguna tidak terbeban tanpa asas yang munasabah.
Terdahulu, tular satu memo daripada sebuah syarikat pengeluar ais yang memaklumkan kenaikan harga jualan daripada RM3.70 kepada RM6, kononnya berkaitan pelaksanaan SST.
Turut tular, memo daripada syarikat makanan sejuk beku yang turut menjalankan perniagaan burger jenama tempatan terkenal, menyatakan harga akan dinaikkan sebanyak 10 peratus bermula Khamis depan. – SINAR HARIAN
