KUALA LUMPUR: Pemain import Selangor FC (SFC), Omid Musawi percaya pasukan itu mampu menjadi medan terbaik untuk dia terus berkembang menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang.
Pemain berusia 24 tahun itu diumumkan secara rasmi sebagai pemain import ketiga ‘The Red Giants’ bagi musim ini selepas pemain Thailand, Picha Autra dan juga penyerang kelahiran Brazil, Chrigor Moraes.
“Sejak perpindahan saya tahun lalu, dari saat pertama saya menjejakkan kaki ke SFC, saya tidak merasa kekok langsung dan membuatkan saya terus menyukai kelab ini. Saya bermula dengan skuad B-23 dan berbangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan utama kelab ini.
“SFC adalah sebuah pasukan yang hebat, profesional dan memberi tumpuan kepada pembangunan. Oleh itu, saya percaya saya boleh mengembangkan lagi bakat saya, bukan sahaja sebagai pemain bola sepak tetapi juga sebagai individu,” katanya.
Dalam masa sama, Musawi turut bertekad untuk memberikan yang terbaik dan berjuang untuk penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka itu.
“Sasaran saya musim ini adalah untuk bermain sebanyak mungkin, bekerja keras dan serta berusaha untuk menyumbang kepada kejayaan pasukan. Saya mahu membantu kami mencapai matlamat kami.
“Apa yang paling penting, saya harap dapat membuat para penyokong bangga dan gembira. Sokongan mereka sangat bermakna buat pasukan, dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menggembirakan mereka,” katanya.
Sebagai rekod, penyerang berdarah campuran Afghanistan-Belanda itu memulakan kariernya di SFC bersama skuad B-23 dalam saingan Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Dia berjaya menunjukkan impak dan kerjasama yang positif dengan yang baik bersama rakan sepasukan selain turut menjalani latihan secara konsisten bersama skuad utama sepanjang musim 2024/25.
Usahanya dalam sesi latihan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menarik perhatian barisan kejurulatihan untuk disenaraikan dalam skuad utama bagi musim ini. – BH
