PONTIAN: Seorang remaja maut akibat dihempap pokok kelapa sawit reput yang tumbang di Kampung Parit Wak Katek, Sanglang, dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, Muhammad Azam Asmawei,15, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ketika mengikut rakannya, Muhammad Hairey Rosli, 18, yang melakukan kerja-kerja menggali tali air berhampiran kebun kelapa sawit tersebut.
Ibu mangsa, Nazihah Mahtar, 43, arwah bersiap dengan berpakian kemas dan cantik serta memakai wangi selepas solat Subuh pagi tadi hanya kerana ingin mengikut Muhammad Haireyuntuk membersihkan tali air kebun kelapa sawit itu.

“Sewaktu keluar rumah pagi ini, dia bersiap begitu rapi dan sangat wangi dan saya sempat tegur bau wangi.
“Malam tadi saya ajak Azam makan malam di gerai, tetapi dia tolak, tidak seperti hari biasa, tetapi makan roti canai yang saya beli.
“Malam tadi, arwah juga tak nak tidur, sibuk berbual dengan sepupunya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pontian, petang ini.
Mereka sekeluarga baru berpindah ke Kampung Seri Bunian selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
Azam merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan kakaknya telah meninggal dunia pada 2008.
“Saya telah kehilangan dua anak, hanya tinggal seorang anak perempuan yang ada,” katanya sambil memberitahu kehilangan Azam amat dirasai kerana arwah ringan tulang membantu keluarga, terutama ayahnya bekerja di bengkel cat kereta di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib mengesahkan mangsa dihempap sebatang pokok kelapa dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bunian malam ini.
