Prestasi dulu, ranking kemudian – Cklamovski

KUALA LUMPUR: Sejauh mana pentingnya ranking skuad negara kepada pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski?

Skuad Harimau Malaya kini menunjukkan peningkatan apabila melonjak enam anak tangga pada kemaskini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk berada pada tangga ke-125 berbanding ke-131, April lalu.

Dibantu dengan keputusan seri 1-1 menentang Cape Verde dan kemenangan besar 4-0 ke atas seteru ASEAN, Vietnam, anak buah Cklamovski membuktikan mereka ada ‘sesuatu’ yang boleh diperagakan dalam laluan memburu slot ke Piala Asia 2027.

Ketika ditanya mengenai kemajuan yang diidamkan, Cklamovski menjelaskan beliau tidak begitu meletakkan fokus sepenuhnya untuk misi memburu kedudukan ranking semata-mata, sebaliknya lebih penting adalah memastikan mereka terus menunjukkan peningkatan demi peningkatan.

“Kalau kita terus menang (dalam perlawanan), ranking kita pun sudah pasti akan terus meningkat. Ia adalah sesuatu yang mudah seperti itu tetapi saya tidak terlalu fokus kepada perkara sebegitu.

“Saya fokus kepada bagaimana supaya kita dapat meningkatkan pasukan ini untuk melakukan sesuatu yang istimewa. Kita buat sesuatu yang istimewa, ranking kita akan meningkat naik dan semua orang akan gembira,” kata Cklamovski.

Dalam masa sama, Cklamovski juga mengakui peningkatan seperti yang dimahukan sememangnya memberikan cabaran besar yang perlu diharungi apatah lagi menjelang kem latihan untuk jendela FIFA, September ini.

“Cabaran yang perlu kita hadapi adalah untuk terus meningkatkan apa yang sudah kita lakukan. Kita fokus terhadap apa yang perlu kita lakukan dan saya tidak mahu semua orang di negara ini terlalu teruja dengan kemenangan ke atas Vietnam.

“Saya menganggap ia sebagai perlawanan di mana kita mendapat tiga mata. Memang kita menjaringkan empat gol, malam yang istimewa di Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi ia hanyalah tiga mata.

“Sekarang kita tahu yang kita boleh menjadi bertambah baik dan kita perlu meneruskan kerja seperti ini. Itu yang akan kita lakukan pada September sebagai persiapan ke kem Oktober nanti,” katanya.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Cklamovski akan mengharungi dua aksi persahabatan berdepan Singapura dan Palestin pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), bulan depan.

Ini sebagai persiapan sebelum mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos dan Nepal pada Oktober dan November ini. – BH

More From Author

Kes Zara Qairina: Istana Seri Kinabalu nafi dakwaan keluarga Yang di-Pertua Negeri terbabit

TNB terima notis taksiran tambahan berjumlah RM609.03 juta daripada LHDN