Kes Zara Qairina: Istana Seri Kinabalu nafi dakwaan keluarga Yang di-Pertua Negeri terbabit

KUALA LUMPUR: Istana Seri Kinabalu hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan di media sosial yang mengaitkan keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam kes kematian seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir, minggu lalu.

Setiausaha Perhubungan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Abdulah Hussin, berkata ia adalah tuduhan tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh mencemarkan reputasi keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Istana Seri Kinabalu meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berbaur fitnah.

“Difahamkan, kertas siasatan sudah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Istana Seri Kinabalu turut mengingatkan, sebarang penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada pihak PDRM atau kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang awam,” katanya.

Zara Qairina, 13 tahun, ditemui kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Pelajar itu dilaporkan meninggal dunia di hospital keesokan harinya, dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.

Bagaimanapun, pelbagai desas-desus berlegar di media sosial termasuk mengaitkan kejadian menimpa Zara Qairina itu sebagai kes buli. – BH

More From Author

Johor cadang RTS2 hubungkan Iskandar Puteri-Tuas

Prestasi dulu, ranking kemudian – Cklamovski