Piala Negara-Negara CAFA 2025: Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Iran

KUALA LUMPUR: Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Iran pada Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang bakal berlangsung pada bulan Ogos depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, selain Iran, skuad Harimau Malaya turut berdepan tuan rumah Tajikistan dan Afghanistan.

Mengikut jadual, Malaysia bakal membuka kempen menentang Tajikistan pada 29 Ogos, diikuti aksi bertemu Iran pada 1 September dan Afghanistan pada 4 September dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Dushanbe, Tajikistan.

Sementara Kumpulan A pula berlangsung di Tashkent, Uzbekistan dengan menampilkan empat lagi pasukan iaitu tuan rumah Uzbekistan, Republik Kyrgyz, Turkmenistan dan Oman.

Hanya juara setiap kumpulan layak ke perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di Tashkent pada 8 September, manakala naib juara kumpulan berentap bagi penentuan tempat ketiga di Dushanbe pada tarikh sama. – Majestic

More From Author

Malaysia berjaya raih potensi pelaburan RM8.13 bilion di Itali – PM

Seleweng dana lebuh raya: SPRM panggil 61 saksi