PUTRAJAYA: Pemuda Parti AMANAH Nasional (AMANAH) membantah pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) yang baharu ke Malaysia dan menyifatkannya satu penghinaan kepada dasar luar negara.
Pengerusi Biro Antarabangsanya, Mus’ab Muzahar, berkata pelantikan itu adalah suatu penghinaan terhadap maruah negara dan prinsip dasar luar Malaysia yang menjunjung kedaulatan, keamanan serantau dan solidariti bersama rakyat tertindas, khususnya Palestin.
“Nick Adams bukan diplomat, bukan negarawan. Beliau hanyalah seorang propagandis ekstrem kanan, tokoh Trumpis tegar, serta penyokong lantang rejim Zionis Israel.
“Retoriknya di media sosial penuh kebencian, perkauman, dan sentimen Islamofobia, jelas jauh menyimpang dari semangat hubungan dua hala yang matang,” katanya menerusi kenyataan.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan Adams yang juga pengulas konservatif dan penulis akan dicalonkan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.
Mus’ab berkata, tindakan membenarkan Adams ke Malaysia ibarat membuka pintu kepada agenda toksik dan politik kebencian.
“Pelantikan ini seharusnya ditolak secara tegas di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna, tanpa perlu sebarang alasan.
“Kedaulatan Malaysia membolehkan kita menentukan siapa yang layak mewakili negara asing di tanah air kita. Ini bukan soal peribadi, ini soal prinsip dan maruah negara.
“Penolakan terhadap Nick Adams bukan ancaman terhadap hubungan Malaysia-Amerika, sebaliknya satu mesej bahawa Malaysia berprinsip, bermaruah dan tidak tunduk kepada permainan geopolitik Amerika,” katanya.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar pula menggesa kerajaan melalui Wisma Putra supaya mengambil pendirian tegas dan jelas untuk menolak pelantikan Adams. – BH
