LONDON: Arsenal sudah beberapa kali terlepas peluang menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam beberapa musim lalu, tetapi kehadiran pemain baharu berkualiti tinggi dijangka membawa perbezaan besar musim depan, kata pemain pertahanan Gabriel Magalhaes.
Selepas muncul naib juara tiga musim berturut-turut, Arsenal kini menambah kekuatan dengan menandatangani Noni Madueke dan Kepa Arrizabalaga dari Chelsea, serta Christian Norgaard dari Brentford dan Martin Zubimendi dari Real Sociedad.
Penyerang prolifik Sweden, Viktor Gyokeres, yang menjaringkan 54 gol dalam 52 perlawanan untuk Sporting musim lalu, juga dijangka akan menyertai Arsenal dalam masa terdekat.
“Saya rasa pemain yang datang akan banyak membantu kami. Kelab sedang melakukan yang terbaik untuk pemain dan pengurus,” kata Gabriel kepada BBC dalam satu temu bual yang disiarkan semalam.
“Mereka jelas berusaha sedaya upaya untuk membawa masuk pemain terbaik yang boleh membantu kami, tetapi kami sebagai pemain perlu fokus kepada apa yang boleh kami lakukan di tengah padang.
“Pemain sedia ada juga sedang menunjukkan komitmen. Kami kuat dan kami bertambah kuat dengan kehadiran pemain baharu ini.
“Kami mahu memiliki pemain terbaik. Untuk bersaing merebut kejuaraan, anda perlu ada pemain bertaraf dunia… Kami terlepas kejuaraan dalam beberapa musim lalu. Kami hampir menang, tetapi saya rasa tahun ini, segala-galanya akan berubah.”
Arsenal akan memulakan kempen EPL 2025-26 pada 17 Ogos menentang Manchester United di Old Trafford. – REUTERS
