ESSEN, Jerman: Skuad olahraga negara diketuai jaguh pecut Muhammad Azeem Fahmi dijadual memulakan cabaran pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, Bochum malam ini.
Azeem yang juga pemegang rekod 100 meter kebangsaan 10.09 saat akan turun berentap pada pusingan pertama acara kegemarannya itu petang ini (tengah malam waktu Malaysia).
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu akan diiringi rakan sepasukan Aliff Iman Mohd Fahimi.
Pada masa sama, pemegang rekod 400m kebangsaan dengan catatan 46.09s Umar Osman selain Muhammad Aidil Azhar Azrul Hisyam akan menggalas cabaran negara dalam acara 400m lelaki.
Pemegang rekod 400m lari berpagar kebangsaan dengan masa 51.26s Muhammad Fakrul Afizul Nasir turut dijadual beraksi.
Dalam saingan wanita, atlet Olimpik Azreen Nabila Alias bersama Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal masing-masing mengintai peluang untuk mencapai keputusan terbaik dalam acara 100m wanita.
Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi dan Chelsea Cassiopea Evalli Bopulas pula akan bersaing pada pusingan pertama 400m wanita.
Selain olahraga, renang dan taekwondo yang memasuki hari kelima pertandingan hari ini masih menanti pingat seterusnya selepas atlet renang Khiew Hoe Yean menghadiahkan pingat pertama kontinjen negara di Berlin, Khamis lalu. – BERNAMA
