KUALA LUMPUR: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah semakin hampir dalam misi memburu gelaran kedua musim ini selepas mara ke separuh akhir Terbuka Jepun, sebentar tadi.
Pasangan nombor tiga dunia itu mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas gandingan Korea Selatan, Jeung Na Eun-Lee Yeon Woo apabila mencatat kemenangan 21-15, 21-19 dalam aksi suku akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut Pearly-Thinaah ke atas Na Eun-Yeon Woo selepas turut menewaskan mereka di Masters Orleans pada Mac lalu dan final Terbuka Thailand, Mei lalu.
Pencapaian mara ke separuh akhir kali ini juga memperbaiki keputusan edisi tahun lalu yang menyaksikan mereka terkandas di peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti apabila mereka bakal berdepan pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Shiharu Shida esok bagi perebutan tiket ke final.
Matsuyama-Shida mara ke kelompok empat terbaik selepas menundukkan Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong 19-21, 21-19, 21-18 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Rekod pertemuan sebelum ini nyata memihak kepada gandingan Jepun itu apabila Pearly-Thinaah hanya meraih satu kemenangan daripada 14 pertemuan.
Namun, dengan prestasi semasa yang kian meyakinkan, Pearly-Thinaah dilihat berpeluang mencipta kejutan untuk mara ke final sekali gus merealisasikan misi memburu gelaran kedua mereka musim ini.
Dalam empat kejohanan terakhir, Pearly-Thinaah mempamerkan prestasi cemerlang apabila menjuarai Terbuka Thailand, muncul naib juara Terbuka Indonesia, mara ke separuh akhir Masters Malaysia serta suku akhir Terbuka Singapura. – BH
