MPP PKR belum bermesyuarat isu penggantungan 9 Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Pusat masih belum bermesyuarat mengenai gesaan menggantung sembilan Ahli Parlimen parti yang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diadakan berhubung dakwaan penyelewengan dalam pelantikan hakim kanan, termasuk Ketua Hakim Negara.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada kepada Setiausaha Agung, Datuk Fuziah Salleh.

“Majlis pimpinan pusat belum bermesyuarat, jadi mungkin boleh rujuk kepada Setiausaha Agung, Datuk Fuziah Salleh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan IPRM AI Festival 2025, Global PR Al Strategic Communication Insights, YOU & Al: Meet @ Bangsar! di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri, hari ini.

Beliau mengulas mengenai gesaan akar umbi parti itu untuk menggantung sembilan ahli Parlimen.

Sebelum ini, 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang Johor menggesa siasatan tatatertib dan penggantungan serta-merta keahlian sembilan Ahli Parlimen parti itu susulan membuat sidang media bagi mendesak kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu pelantikan badan kehakiman.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan pendekatan semua Ahli Parlimen terbabit melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR di bawah Perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan Parti khususnya berkaitan tanggungjawab menjaga nama baik parti, mematuhi keputusan parti dan mengelak daripada sabotaj dalaman.

Isnin lalu, sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh. – BH

More From Author

Polis siasat individu sebar maklumat palsu dakwa Sultan Kelantan meninggal dunia

Isu tunggakan gaji: Bekas Ketua Jurulatih, pemain tolak tiga tawaran Kelantan TRW