JASIN: Seorang remaja lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai polis untuk menakut-nakutkan seorang gadis, di sini, awal pagi Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat, berkata suspek berusia 18 tahun diberkas, semalam, susulan aduan dibuat mangsa berumur 19 tahun.
Beliau berkata, pengadu mendakwa ditahan seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 di persimpangan lampu isyarat Taman Debunga, Merlimau, kira-kira jam 2 pagi Rabu lalu.
“Lelaki itu didakwa memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta pengadu mengeluarkan lesen memandu serta cuba mengambil kunci motosikalnya.
“Namun, pengadu enggan menyerahkannya dan memberitahu untuk ke Balai Polis Merlimau jika mahu mengambil tindakan lanjut terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Rusli berkata, lelaki itu dikata tersentak dengan respons pengadu lalu beredar dari lokasi.
“Justeru bertindak atas maklumat, Ketua Balai Polis Merlimau, Asisten Superintendan Hairul Azrin Abd Ghani, bersama pasukan menangkap lelaki itu di sebuah pasar raya berdekatan Kawasan Perindustrian Telok Mas, semalam kira-kira jam 9 malam.
“Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku terbabit jenayah dengan menyamar sebagai anggota polis sebanyak dua kali di sekitar Merlimau,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan suspek, termasuk motosikal yang digunakan.
Katanya, suspek direman tiga hari hingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BH
