KUALA LUMPUR: Isu tunggakan gaji, tiada pasukan pemantau bakat, nilai komersial liga dan kewangan kelab menjadi antara faktor saingan Liga Super Malaysia dibanjiri pemain yang sudah berusia.
Penganalisis bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan masalah tunggakan gaji yang meruncing menyebabkan kelab Liga Malaysia (Liga M) sukar untuk mendapatkan pemain muda yang berkualiti terutama membabitkan bintang import.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu mendakwa, kebanyakan pasukan Liga M juga tidak memiliki pasukan pemantau bakat yang menyaksikan berlaku pengambilan pemain secara tangkap muat dan lebih bersandarkan nama serta pengalaman.
Beliau berkata, situasi itu turut menyumbang kepada tindakan pasukan lebih meletakkan kepercayaan kepada ejen untuk mencadangkan nama pemain dan ia memberi gambaran pemilihan pemain hanya dilakukan dalam skala kecil.
Katanya, nilai komersial liga yang tidak berada pada tahap tertinggi juga menyebabkan kelab Liga M sukar mencari penajaan atau rakan strategik untuk meningkatkan keupayaan mereka mengikat pemain yang terbaik.
“Nilai komersial liga kita turut dipengaruhi oleh isu pengurusan kelab terutama masalah tunggakan gaji pemain sampai hingga ke FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) selain masalah sama membabitkan pemain tempatan yang belum selesai.
“Liga juga kurang kompetitif disebabkan dominasi pasukan tertentu dengan kebanyakan kelab tidak memiliki pasukan pemantau bakat yang betul. Mereka dilihat kurang membuat kerja rumah dalam mencari pemain dan banyak harapkan kepada ejen pemain.
“Perkara itu mempengaruhi siapa (pemain) yang akan dihantar dalam Liga Super. Seandainya liga terus dibanjiri pemain lebih berusia, ia satu perkembangan yang tidak sihat apabila pemain sudah di hujung karier di hantar ke liga kita,” katanya.
Semalam BH Sukan melaporkan, Liga Super Malaysia berada di kedudukan ketiga di dunia yang memiliki ramai pemain berusia atau tua berdasarkan senarai yang dikeluarkan laman terkemuka, Transfermarkt.
Menerusi statistik yang keluarkan laman antarabangsa itu, purata pemain yang beraksi dalam Liga Super Malaysia adalah 27.7 tahun.
Liga Super Malaysia berada di belakang Gozo League Malta yang mencatat purata umur pemain 29.7 tahun dan Liga Guate di Guatemala (purata umur 27.9 tahun).
Liga Super China pula di kedudukan keempat dengan purata umur 27.7 tahun dalam senarai 20 liga yang disenaraikan Transfermarkt itu, manakala Liga Thailand di tangga ke-16 (purata umur pemain 27.2 tahun). – BH
