KPKT tak kompromi jika ada elemen rasuah, seleweng dalam inisiatif MyKiosk

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan berkompromi sekiranya wujud elemen rasuah atau penyelewengan dalam proses perolehan dan pelaksanaan inisiatif MyKiosk dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

KPKT dalam kenyataan menegaskan, pihaknya mengalu-alukan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung inisiatif MyKiosk tersebut.

Menurut KPKT, ia disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan setiap inisiatif kerajaan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Pada masa yang sama, kementerian tersebut menjelaskan telah secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk kepada SPRM pada 22 Mei lalu.

Jelasnya, tindakan berkenaan mencerminkan komitmen KPKT terhadap prinsip integriti dan ketelusan.

“KPKT turut memperkukuh budaya integriti dalaman melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat (Traffic Light System) dan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap PBT bagi memantau dan menilai prestasi integriti serta membasmi amalan rasuah di peringkat PBT,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, KPKT memaklumkan, semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk dilaksanakan oleh 133 pihak PBT melalui sebut harga terbuka.

“Kos siling bagi MyKiosk 2.0 yang ditetapkan Jabatan Kerajaan Tempatan adalah RM25,000 setiap unit.

“Sebanyak 795 kontraktor MyKiosk dilantik oleh PBT masing-masing di seluruh negara dalam pembelian dan penempatan MyKiosk,” katanya.

MyKiosk diwujudkan bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat.

Projek ini mencapai pelaksanaan penuh menjelang akhir 2024 apabila penyerahan MyKiosk 1.0 dengan kos unit sekitar RM15,000 kepada PBT oleh kontraktor.

Dilaporkan, MyKiosk itu diselia oleh PBT dengan sewaan tidak melebihi RM300 dan pengecualian sewa pula diberikan selama enam bulan pertama pelaksanaannya.

Seterusnya MyKiosk 2.0 turut dilancarkan pada 2024 sebagai kesinambungan daripada MyKiosk 1.0 apabila 4,054 unit tambahan diluluskan dengan peruntukan RM100 juta, yang mana setiap unit boleh mencecah sehingga RM25,000 termasuk sistem solar 1,000 W, panel LED, kipas, jendela hidraulik dan struktur lebih kukuh.

Terdahulu, SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku rasuah dan penyelewengan tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.

Ini selepas SPRM dilaporkan menerima aduan daripada sebuah parti politik berhubung perkara berkenaan.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatannya, Datuk Zainul Darus berkata, susulan itu pihaknya menjalankan siasatan awal berhubung aduan berkenaan.

Pada masa sama, katanya lagi, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM juga sudah memulakan proses penyiasatan secara serentak. – Majestic

More From Author

183 pelajar dikenal pasti terbabit kegiatan samseng jalanan, lumba haram di ibu kota

Kemelut jenama XPDC bakal selesai