Kontraktor mengaku belasah isteri

MELAKA: Padah membelasah isteri hingga patah anggota badan, seorang kontraktor dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, See Yong Fei, 36, yang menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan hari ini.

Mengikut pertuduhan dia didakwa dengan sengaja menyebabkan isterinya yang berusia 39 tahun parah dengan cara memukul dan menumbuk tangan serta menendang belakang badan sehingga patah di beberapa bahagian anggota badan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kediaman di Taman Desa Bertam, dekat sini, pada 7 Mei 2024, kira-kira jam 11.28 malam dan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul isterinya kerana berang wanita itu yang dikahwini selama enam tahun keluar rumah tanpa izin untuk pergi ke pasar membeli sayur selain tidak mahu mangsa bergaul dengan orang lain.

Selepas mengetahui isterinya keluar rumah, tertuduh memukul dan menendangnya hingga mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta badan.

Mangsa kemudian dikurung di rumah, namun berjaya menyelamatkan diri dengan menghubungi rakan ketika suaminya keluar bekerja.

Rakannya kemudian membawa pengadu ke balai polis untuk membuat laporan sebelum dibawa untuk rawatan ke Hospital Melaka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan mangsa.

Peguam Kelvinder Singh Sidhu memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan denda minimum atas alasan lelaki itu menyara lima anak yang masih kecil dan bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

Katanya, itu adalah kesalahan pertama tertuduh yang turut menjaga bapa yang uzur selain mangsa kini tidak tinggal bersama selepas kejadian. – BH

More From Author

Apa cerita? PM temui Ahli Parlimen BN di Seri Perdana

Kes Tun Daim: SPRM kenal pasti aset lebih RM3 bilion di 11 negara