PUTRAJAYA: Beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dipercayai milik menteri dan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) mulai memasuki perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, malam ini.
Sebuah MPV dipercayai dinaiki Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang diiringi polis tentera, dilihat memasuki perkarangan Seri Perdana pada jam 7.20 malam ini.
Kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat memasuki perkarangan Seri Perdana pada jam 7.40 malam.
Difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengadakan pertemuan tertutup dengan Ahli Parlimen BN.
Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan isu semasa termasuk pada sidang parlimen dan perkara membabitkan badan kehakiman. – BH
