Hujan lebat di Gunung Kinabalu: Semua 155 pendaki selamat turun lepasi air deras

RANAU: Semua 155 pendaki yang berada di Check Point Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu awal pagi tadi berjaya melepasi kawasan aliran air deras di situ susulan hujan lebat sebelumnya.

Menurut kenyataan Pengurusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah hari ini, hujan lebat di kawasan puncak jam 6.15 pagi menyebabkan limpahan air deras dari dataran tinggi melintasi laluan denai di Kilometer 7.

“Pemantauan serta penilaian segera telah dilakukan oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) Taman-Taman Sabah (TTS), pasukan MOSAR dan Malim Gunung.

“Laluan dikenal pasti selamat dan semua pendaki dibantu menggunakan tali keselamatan yang tersedia di kawasan berkenaan,” katanya.

Pengurusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah berkata semua pendaki dilaporkan selamat dan berjaya menyeberangi kawasan berisiko itu pada jam 7.48 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Sebelum ini, media melaporkan situasi cemas di laluan pendakian Gunung Kinabalu apabila aliran air deras melimpah secara tiba-tiba susulan perubahan cuaca drastik selepas pendakian dibuka pada jam 3.26 pagi.

Kenyataan agensi kerajaan negeri itu kejadian seperti itu adalah fenomena semula jadi yang lazim berlaku ketika hujan lebat di kawasan tinggi.

“Justeru, pihak kami sentiasa bersiap sedia dengan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ketat,” kata kenyataan itu.

Pengurusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah berkata pemantauan cuaca dilakukan seawal jam 2 pagi hingga 3 pagi dan sekiranya keadaan tidak mengizinkan, taklimat penutupan pendakian akan segera dilakukan oleh renjer atau anggota SAR Taman.

“TTS turut menasihatkan pendaki supaya tidak panik jika berdepan situasi seperti ini dan sentiasa mematuhi arahan keselamatan daripada SAR Taman dan Malim Gunung,” katanya. – BH

More From Author

Anwar jemput Trump hadir Sidang Kemuncak ASEAN-AS di KL Oktober ini

Johari jalankan tugas, fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa serta-merta