Dua anggota polis disyaki minta, terima rasuah RM635,000

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis direman selama tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM635,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan terlibat aktiviti perjudian.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an ditahan kira-kira pukul 2 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.

“Kedua-dua suspek disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu atas kesalahan aktiviti perjudian.

“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

More From Author

Padah beri rasuah, pekerja ladang didakwa

Tumbuk cikgu: Pelajar mengaku salah