Digantung tak ikut prosedur, tapi diminta masuk semula perlu ikut pula – Hishammuddin

KLUANG: “Digantung tidak ikut prosedur, namun apabila ada permintaan untuk saya diterima semula, kena ikut prosedur pula.”

Demikian luahan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai mengulas usul daripada UMNO Bahagian Sembrong yang memohon supaya perkara itu dibawa ke peringkat pimpinan tertinggi parti tersebut.

Menurut bekas Naib Presiden UMNO berkenaan, sejak digantung keahliannya pada 27 Januari 2023 hingga kini beliau belum menerima sebarang penjelasan bagi kesalahan melanggar fatal-fasal dalam perlembagaan parti seperti didakwa.

“Saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau membela diri dan tidak dibicarakan di hadapan Jawatankuasa Disiplin parti.

“Saya tidak merayu kerana tidak diadili dan enggan menggadaikan prinsip yang dipegang sejak terlibat dalam parti,” katanya dalam penjelasan menerusi media sosial, hari ini.

Menurutnya,  bukan soal keahlian, kedudukan dan jawatan dalam parti yang penting, namun ia melibatkan soal prinsip, intergriti, keikhlasan dan keadilan.

“Usul untuk hukuman penggantungan keahlian terhadap saya ditarik balik dibawa oleh UMNO Bahagian Sembrong bukan daripada saya. Maka, adalah menjadi tanggungjawab parti untuk memberikan jawapan dan penjelasan kepada mereka,” tegasnya.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu berkata, walaupun keahliannya digantung, namun beliau tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Sembrong.

“Rakyat di Sembrong juga tahu siapa saya dan kekal harmoni serta kesetiaan terhadap perjuangan dalam UMNO,” katanya. – Majestic

More From Author

Pasang niat berkahwin – Syed Saddiq

Bapa tiri, abang kandung mengaku noda remaja 15 tahun