Tiada sekatan rasmi terhadap Fahmi Reza – KPN

KUALA LUMPUR: Tiada sekatan rasmi dikenakan terhadap aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin seperti mana didakwa oleh beliau di dalam media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, nama beliau sebaliknya telah dimasukkan dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas beliau, hal ini berikutan siasatan kes melibatkan Mohd Fahmi Reza yang masih dijalankan oleh pihaknya.

“Harus ditegaskan bahawa senarai ini tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razarudin berkata, terdapat kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara semalam, yang telah menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat.

Katanya lagi, situasi berkenaan sedang diteliti serta langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemaskan prosedur sedia ada.

“PDRM kekal komited dalam melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak kepada setiap rakyat Malaysia dan individu berkenaan adalah bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk negara seperti biasa, tertakluk kepada sebarang peraturan yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Imigresen dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Media semalam melaporkan Mohd Fahmi Reza mendakwa dihalang untuk ke luar negara selepas disenarai hitam daripada memasuki Sabah baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau hanya mengetahui perkara berkenaan selepas dimaklumkan pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Singapura. – MN

More From Author

Hakim Danish raih kemenangan pertama musim ini di Aragon

Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika jolok buah mangga