Selangor FC ‘belum siap’

KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC (SFC) ketika ini belum lagi ‘siap’ sekali gus berkemungkinan ada kejutan yang akan diperagakan ‘The Red Giants’ membabitkan kemasukan pemain baharu ke pasukan itu.

Pengendalinya, Katsuhito Kinoshi menegaskan beliau masih lagi belum berpuas hati dengan apa yang ada dalam pasukannya ketika ini sekali gus memberi bayangan pasukan itu mungkin akan melakukan beberapa penambahbaikan untuk mengharungi musim baharu nanti.

“Belum lagi (berpuas hati). Kita perlukan masa lagi tetapi kita tengok bagaimana, saya tidak boleh komen apa-apa lagi kerana skuad belum diumumkan secara rasmi lagi.

“Skuad ini belum sempurna. Sudah tentu lebih baik kita dapat melakukannya secepat mungkin tetapi kita tunggu jendela perpindahan kerana sentiasa ada kejutan bukan untuk pasukan kita tetapi untuk pasukan lain juga.

“Jadi kita akan tahu hasilnya selepas jendela perpindahan ditutup nanti,” kata Kinoshi.

Setakat ini, juara Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu sudah mengumumkan kehadiran pemain Thailand, Picha Autra sebagai taruhan baharu mereka bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26.

Mereka juga mengesahkan dua pemain import mereka, Noor Al-Rawabdeh dan juga Mohamad Abualnadi akan terus kekal menyarung jersi SFC pada musim seterusnya.

Ketika ini, pasukan itu dikatakan bakal mengikat seorang lagi pemain import baharu dari Brazil, Chrigor Moraes yang sebelum ini beraksi di Liga Thailand bersama Buriram United dan PT Prachuap. – BH

More From Author

Atuk terbunuh atas kecuaian lelaki Pakistan

PSM dijenamakan semula