Remaja maut pergi kerja di kilang biskut

PONTIAN: Seorang remaja maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya apabila motosikal ditunggang berlanggar dengan kereta Perodua Myvi yang keluar dari persimpangan di Kampung Penerok, dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pukul 6.40 pagu itu, mangsa, Nur Shahira Danish Abdullah, 18, yang dalam perjalanan ke kilang biskut di Kampung Rimba Terjun meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan akibat tercampak lalu dilanggar pula oleh sebuah Toyota Vios.

“Ketika sampai di Kilometer 11, Jalan Pontian-Kukup, sebuah kereta Perodua Myvi  yang dipandu oleh seorang guru membelok ke kanan untuk keluar simpang, namun  memasuki laluan motosikal yang ditunggang oleh mangsa lalu berlaku pelanggaran.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang beralamat di Kampung Melayu Kukup Laut tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar pula oleh sebuah kereta  Toyota Vios yang datang dari arah  Pontian ke Kukup. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan  di sini.

Pemandu kedua-dua kereta tersebut tiada mengalami sebarang kecederaan, namun kereta Perodua Myvi remuk pada bahagian hadapan, manakala Toyota Vios tiada kerosakan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kereta Perodua Myvi yang cuai ketika keluar simpang lalu memasuki laluan bertentangan  menyebabkan berlaku pelanggaran dengan penunggang motosikal,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang  ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya. 

Beliau turut meminta saksi berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Aiman Faiz Jusoh menerusi talian 011-26561677.

More From Author

Luar pangsapuri kos rendah, dalam bak kondominium mewah

Berang pandu perlahan, pemandu Hilux ‘hentam’ Axia