MELAKA: “Kalau adik tengok video ini, baliklah mama rindukan adik dan mama minta maaf kalau adik ada terasa hati dekat mama atau kalau siapa sahaja yang ambil anak saya tolonglah pulangkannya.
“Telefonlah mama kalau adik ada di mana sekali pun, kasihankanlah mama dan papa hari-hari keluar cari adik tak tahu lagi ke mana hendak cari adik,”.
Itu luahan sebak Noorlaili Mahat, 53, yang merayu anak bongsunya, Nor Alieya Maisarah Mohd Hassan 14, supaya segera pulang ke rumahnya di Taman Seri Telok Emas, di sini selepas hilang dipercayai melarikan diri sejak 8 Mei lalu.
Tukang masak di sebuah restoran ikan bakar di Alai itu berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sejak pulang dari sekolah pada 8 Mei lalu malah bersikap ceria seperti biasa.

“Waktu balik sekolah ketika itu, dia seperti biasa peluk cium dengan saya dan suami Mohd Hasan Elias, 52 dan makan tengah hari di rumah sehinggalah saya keluar bekerja pada pukul 4 petang.
“Selepas keluar, anak kedua perempuan berusia 16 tahun beritahu Adik (Maisarah) sudah tiada di rumah dan telefon bimbitnya langsung tidak dapat dihubungi sehingga ke hari ini.
“Selepas balik ke rumah dan membuat laporan polis pada hari sama, saya melihat beg sekolahnya dan beberapa helai pakaian miliknya sudah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Bercerita lanjut Noorlaili yang sentiasa menangis berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mengesan anaknya itu sejak kehilangannya 49 hari lalu termasuk menggunakan kaedah pencarian alternatif.
“Jumpa bomoh, solat hajat, keluar mencarinya sendirian di kawasan sekitar menaiki motosikal semuanya saya dah buat namun semuanya tidak menemui sebarang petunjuk.
“Saya juga dah melihat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah dan kawasan sekitar tapi masih juga tidak nampak Maisarah,” tambahnya lagi.
Malah pemeriksaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga mendapati tiada permohonan Mykad baharu dibuat memandangkan Mykad anaknnya itu masih berada dalam simpanannya.
“Saya dan suami betul-betul buntu kerana Adik bukanlah remaja yang bebas berkawan malah setahu saya dia juga tidak mempunyai teman lelaki.
“Mama percaya, adik masih ada dan mungkin ada orang yang membawa adik ke mana-mana jadi tolonglah pulangkannya kerana saya amat merinduinya,” katanya sambil menyeka air mata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Maisarah boleh menghubungi ibunya di talian 014-3818326. – MalaysiaGazette
