KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang belum mengetahui bahawa nilai pasaran bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi lebih mahal berbanding dua pemain warisan yang baru ditandatangani Harimau Selatan, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Berdasarkan nilai pasaran pemain di laman antarabangsa transfermarkt.com, Arif Aiman memiliki tanda harga €650,000 (RM3.2 juta) mengikut kemaskini pada 14 Mei lalu.
Irazabal yang sebelum ini memiliki tanda harga sama dengan Arif Aiman, kini berada di bawah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) itu apabila nilai pasarannya menurun kepada RM2.95 juta.
Nilai pasaran terbaru Irazabal berdasarkan kemaskini laman berkenaan pada 9 Jun lalu, iaitu sehari sebelum tonggak pertahanan berusia 29 tahun itu membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya ketika menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Tanda harga Hevel yang baru dikemaskini laman berkenaan, kelmarin juga mengalami penurunan dengan pemain tengah itu ketika ini memiliki nilai pasaran RM1.97 juta berbanding RM2.2 juta pada Disember tahun lalu.
Nilai pasaran Arif Aiman pula sebenarnya meningkat hampir RM250,000 berbanding tanda harganya pada kemaskini November tahun lalu, sekali gus terus kekal sebagai pemain tempatan termahal dalam Liga M.
Situasi itu turut menyaksikan bahawa Arif Aiman membuktikan bahawa beraksi dalam Liga M juga mampu untuk meletakkan dia pada kelas tersendiri, malah nilai pasaran yang dimilikinya lebih tinggi daripada ramai pemain import lain dalam Liga M.
Selain aksi cemerlang dalam Liga M bersama JDT, kejayaan Arif Aiman menggondol beberapa anugerah terutama MVP buat kali keempat berturut-turut serta prestasi di pentas Liga Juara-Juara Elit (ACL) menjadi faktor utama peningkatan nilai pasaran pemain sayap berusia 23 tahun itu.
Bagi senarai nilai pasaran pemain kebangsaan, Arif Aiman berada di kedudukan kelima dengan pemain warisan, Imanol Machuca kekal sebagai bintang termahal Harimau Malaya apabila memegang tanda harga RM12.3 juta.
Pemain warisan iaitu penyerang, Joao Figueiredo dan pemain pertahanan, Facundo Garces muncul pemain kedua termahal dalam skuad Harimau Malaya apabila berkongsi nilai pasaran RM9.84 juta.
Dua lagi pemain warisan, Dion Cools yang baru menyertai kelab Jepun, Cerezo Osaka dan penyerang kelab America de Cali, Rodrigo Holgado turut berada dalam kelompok lima teratas pemain termahal Harimau Malaya dengan masing-masing memiliki nilai pasaran RM4.9 juta dan RM3.9 juta. – BH
