KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, mewakili kerajaan MADANI, beliau mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat.
“Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
