KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada ibu tunggal Wan Azizah Wan Mohd Ali, 79, yang hidup dalam serba daif di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang.
Sumbangan telah disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika melawat ibu kepada 10 cahaya mata itu dalam kerangka Ziarah MADANI.
Ahmad Farhan berkata, Wan Azizah berdepan pelbagai kesukaran kerana turut mengidap penyakit darah tinggi selain perlu mengurus anak yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Selain itu, katanya, kediaman yang menjadi lokasi mereka berteduh juga berada dalam keadaan daif, atap bocor, lantai reput dan berlubang.
“Bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sumbangan sebagai tanda prihatin dan sedang meneliti bantuan sewajarnya bagi meringankan beban puan Wan Azizah termasuk pembaikan rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Farhan juga mendoakan semoga segala urusan Wan Azizah dipermudahkan Allah SWT.
