Pelajar demam terselamat nahas

BESUT: Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terselamat daripada nahas yang meragut 15 nyawa rakannya selepas di tahan wad di Hospital Jertih.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, pengguna Facebook dikenali sebagai Are Da Mat Nuar memaklumkan adiknya dimasukkan ke hospital kerana demam, dipercayai akibat jangkitan Leptospirosis sehari sebelum kejadian.

Jelasnya sepatutnya adiknya sepatutnya turut menaiki bas tersebut namun disebabkan masalah kesihatan dihadapi dia terpaksa menangguhkan ke pulangannya ke UPSI.

“Adik saya salah seorang dari pelajar UPSI yang sepatutnya naik bas ini tetapi tengahari kelmarin dia masuk wad di Hospital Jertih sebab demam. Doktor suspek jangkitan air kencing tikus.

“Semoga dipermudahkan urusan semua,” tulisnya dalam ruangan komen di sebuah hantaran berkaitan kemalangan berkenaan hari ini.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang menyifatkan kejadian itu sebagai ujian dan takdir yang menyelamatkan pelajar terbabit daripada tragedi menyayat hati itu.

Terdahulu, sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI, dipercayai terbabas dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.

Dalam kejadian tersebut, seramai 15 pelajar disahkan maut manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Gerik.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Besut ke Tajung Malim, Perak. – UTUSAN

More From Author

15 maut, bas bawa pelajar UPSI terbalik di Jalan Jeli-Grik

Kemalangan bas: UPSI sahkan 42 pelajar terlibat