KUALA LUMPUR: Pasaran buruh Malaysia terus pulih pada tahun 2024 dan dijangka kekal stabil sepanjang 2025, seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Statistik Tenaga Buruh Tahunan 2024 menjelaskan, pasaran buruh Malaysia bagi tahun 2024 terus mencatatkan prestasi memberangsangkan.
Jelasnya, kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus, di bawah paras prapandemik 3.3 peratus yang direkodkan pada tahun 2019.
Selain itu, katanya lagi, bilangan penganggur berkurang kepada 534,100 orang, dengan penurunan yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun.
“Statistik ini mencerminkan situasi penawaran tenaga buruh di Malaysia seperti yang dilaporkan melalui Survei Tenaga Buruh yang dilaksanakan oleh DOSM.
“Dalam masa yang sama, tenaga buruh meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 16.90 juta orang berbanding 16.37 juta orang pada tahun sebelumnya.
“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) turut meningkat kepada paras tertinggi yang baharu iaitu 70.6 peratus berbanding 70.0 peratus pada tahun 2023,” katanya, hari ini.
Pada masa sama, DOSM turut memberitahu bahawa bilangan penduduk bekerja terus mencatatkan pertumbuhan tahunan yang positif, meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada 16.37 juta orang berbanding 15.81 juta orang pada tahun sebelumnya.
Katanya, sejajar dengan itu, nisbah guna tenaga kepada penduduk turut meningkat sebanyak 0.7 mata peratus kepada 68.4 peratus (2023: 67.7 peratus).
“Merujuk kepada taraf pekerjaan, 78.5 peratus daripada penduduk bekerja merupakan kategori pekerja (12.86 juta orang), manakala bilangan kategori penduduk bekerja sendiri meningkat kepada 2.52 juta orang, menyumbang 15.4 peratus daripada jumlah guna tenaga.
“Majoriti penduduk bekerja di Malaysia tertumpu dalam kategori pekerjaan separuh mahir, merangkumi 56.5 peratus daripada jumlah guna tenaga atau bersamaan 9.26 juta orang.
“Diikuti oleh pekerjaan mahir (30.2 peratus; 4.94 juta orang) dan kategori pekerjaan berkemahiran rendah (13.3 peratus; 2.17 juta orang),” katanya. – MN
