Oleh Azizi Majid
KOTA TINGGI: Ramai yang menyangka buah anggur hanya sesuai ditanam di kawasan beriklim sejuk dan tanah tinggi.
Namun, sebaliknya dibuktikan pasangan suami isteri di Sedili Kecil, dekat sini apabila tanaman anggur mereka berjaya membuahkan hasil.
Menurut Arun Ssamandaewa, 35, dia dan isteri Siti Noreha Zulkapli, 32, mula menanam anggur di halaman rumah sekadar untuk mengisi masa lapang.
Apatah lagi lelaki berasal dari Thailand itu tidak mempunyai pekerjaan selepas pandemik Covid-19.

“Meskipun tidak mempunyai sebarang ilmu pertanian, namun minat bercucuk tanam membuatkan saya mula mempelajari cara penanaman anggur dalam YouTube.
“Berbekalkan modal lebih RM3,000 kami akhirnya berjaya menanam sebanyak dua belas jenis anggur, antaranya jenis shine muscat, baikonur, wies dan julian,” kata Arun ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Siti Noreha, menerusi kaedah penyesuaian varieti dan sistem fertigasi moden, pokok anggur berjaya tumbuh dengan baik walaupun suhu persekitaran mencecah lebih 30 darjah Celsius.
Selain faktor tanah, baja, air dan net pelindung cahaya, pemilihan jenis anggur tertentu yang sesuai dengan iklim tropika juga memainkan peranan penting kemenjadian tanaman itu.
“Ketika kami mula tanam anggur dahulu ramai yang tidak percaya buah itu boleh hidup dalam cuaca panas di negara ini.
“Namun, Alhamdulillah kami berjaya buktikan sebaliknya hasil tiga kali tuaian anggur yang rasanya tidak kalah dengan yang dijual dalam pasaran,” katanya.
Tanaman anggur pasangan itu kini bukan sahaja menjadi tarikan penduduk kampung malah pengunjung luar untuk melihat sendiri kemenjadian buah berkenaan.
Pasangan itu juga merancang memperluaskan lagi tanaman anggur itu dan mengkomersialkannya untuk pasaran tempatan pada masa depan. – Majestic
