Padah ugut media, penganggur didenda RM3,000

JOHOR BAHRU: Seorang bapa tujuh anak didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan membuat ugutan terhadap jurukamera di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, semalam.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Abdullah, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Nabilah turut memerintahkan penganggur itu dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Firdaus dituduh menakutkan seorang jurukamera berusia 61 tahun dengan niat hendak menyebabkan kegentaran di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira 9 pagi semalam ketika tertuduh yang diiringi anggota polis bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes khianat dan memandu secara berbahaya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Nevina memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya setelah pengadu hanya menjalankan tugas sebagai jurukamera dan ugutan itu bersifat mengancam keselamatannya.

Tertuduh merayu supaya mahkamah memberikan hukuman yang ringan memandangkan dirinya tidak bekerja dan menanggung tujuh anak dan seorang isteri.

Semalam, beberapa pengamal media di daerah ini telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan setelah diugut ketika membuat liputan berkaitan kes dihadapi tertuduh di mahkamah.

Dalam laporan itu, tertuduh dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan kepada jurukamera TV3, jurugambar Berita Harian dan seorang wartawan akhbar Oriental Daily.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat dalam kenyataa memberitahu, suspek ditahan pagi tadi di kawasan Bandar Baru Uda, di sini.

Rakaman video kejadian menunjukkan suspek yang memakai pelitup muka ketika berjalan ke bilik perbicaraan telah mengeluarkan kata-kata ugutan dilemparkan terhadap jurukamera itu.

“Suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan berbunyi, ‘Kenapa rakam dekat bawah, sudah rakam, nanti aku keluar aku cepuk kau… jangan buat aku marah, nanti aku sepak kau’, sehingga menyebabkan mangsa berasa terancam dan membuat laporan polis,” katanya.

More From Author

Lelaki maut ditikam rakan serumah

Projek NTC berjalan lancar, dijangka siap tanpa kelewatan