KUALA LUMPUR: Saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/26 dijangka lebih menarik apabila Liga Bolasepak Amatur (AFL) memperkenalkan dua pengisian baharu yang signifikan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, setiap pasukan diwajibkan untuk menyenaraikan tiga pemain bawah 23 tahun dalam setiap perlawanan.
“Kita ada beberapa peraturan baharu bagi saingan Liga A1 2025/26, antaranya pemain berusia bawah 23 tahun wajib bermain dalam setiap pasukan.
“Tiga pemain perlu diturunkan pasukan dalam setiap perlawanan, ini sesuatu perkara baharu bagi pasukan Liga A1.
“Langkah ini bertujuan untuk memberi lebih banyak pendedahan dan peluang kepada bakat-bakat muda tempatan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Selain itu, Mohd Yusoff menegaskan bahawa saingan juga membenarkan penggunaan tiga pemain import pada musim ini bagi menjadikan saingan lebih menarik.
“Kita juga buka kepada setiap pasukan Liga A1 mendaftarkan seramai tiga pemain import kali ini. Tiga pemain import ini juga tiada sekatan umur,” katanya lagi.
Secara rasmi 12 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, JDT II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC dan Kedah FA.
Turut menyahut cabaran Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University Football Team dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).
