KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaraskan kadar insentif pembajakan daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, insentif baharu untuk penuaian pula akan diberikan pada kadar RM50 per hektar per musim kepada pesawah.
Jelasnya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri dan bersidang pada 16 Jun lalu.
Katanya lagi, kerajaan juga akan memastikan pembayaran insentif ini selesai sepenuhnya sebelum 31 Julai ini.
“Selain itu, pelbagai inisiatif lain turut dibincangkan termasuklah strategi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging lembu/kerbau negara demi kemampanan bekalan makanan negara.
“Kerajaan juga menyambut baik pembangunan Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen strategik dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara.
“Kerajaan juga bersetuju secara prinsip dalam meneroka strategi berkesan bagi mengurangkan kebergantungan import jagung bijian demi kelangsungan dan pertumbuhan industri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad berkata, selain itu, cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) akan dilaksanakan bagi memastikan perlindungan yang lebih komprehensif terhadap varieti tumbuhan baharu.
Katanya, perancangan dasar akan terus diperkasakan menerusi hasil dapatan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 dalam memacu pertumbuhan sektor pertanian.
“Kerjasama strategik antara kementerian dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) diperkukuhkan menerusi pengenalan silibus baharu Remote Pilot Certificate of Competency – Agriculture Light (RCoC-AL) untuk pengendali persendirian dron / Unmanned Aircraft System (UAS).
“Kita komited untuk terus melakar dasar dan inisiatif yang progresif demi masa depan pertanian dan keterjaminan makanan yang lebih lestari di negara ini,” katanya lagi. – MN
