KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 1.72 juta batang rokok seludup pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.48 juta termasuk cukai dalam serbuan yang dijalankan bulan lepas.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan tersebut dijalankan ke atas sebuah rumah di Kampung Babong pada pukul 10.30 pagi, 7 Mei lalu.
Hasilnya, pihak beliau menemukan sebahagian rokok berkenaan di dalam rumah dan bakinya di dalam but sebuah kereta.
“Berdasarkan siasatan, premis itu disewa untuk dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup manakala kenderaan berkenaan digunakan bagi mengedar rokok terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Jamal Abdul berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
