KUALA LUMPUR: Desas-desus berhubung kepulangan bekas perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya terjawab apabila badan induk itu mengesahkan perkara tersebut.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Iskandar memandangkan beliau masih memiliki baki kontrak sehingga 2028 bersama Persatuan Badminton Ireland.
“Kami ingin mengumumkan bahawa hari ini kita akan memiliki jurulatih baharu bagi menyokong skuad perseorangan negara, iaitu Iskandar Zulkarnain. Beliau akan melaporkan diri pada 1 Oktober depan.
“Proses rundingan sudah dibuat sebelum ini dengan persetujuan dicapai minggu lepas dengan beberapa syarat yang ditetapkan. Maklumat terperinci akan diumumkan sebaik Iskandar pulang dari Ireland,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi libat urus di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Kehadiran bekas pemain yang pernah diberi julukan Sang Penakluk itu adalah bagi membantu Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen, namun peranannya nanti masih belum ditentukan.
Sebagai rekod, Iskandar membuktikan kalibernya sebagai jurulatih apabila mengemudi perseorangan lelaki Ireland, Nhat Nguyen mara ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis tahun lalu.
Dalam pada itu, Jonassen juga pernah menyatakan bahawa Iskandar merupakan antara calon paling sesuai bagi menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan wanita negara. – KOSMO! ONLINE
