GRO bertempiaran lari

JOHOR BAHRU: Puluhan wanita pelayan pelanggan (GRO) bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri daripada diberkas pasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen yang menyerbu pusat hiburan di Stulang Laut, di sini malam tadi.

Namun, tindakan itu sia-sia apabila mereka yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di bilik rahsia berjaya diberkas oleh pihak berkuasa dalam Op Kutip yang diadakan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, berdasarkan maklumat dan risikan selama tiga minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri, pihaknya menjalankan Op Kutip secara terancang sehingga 2.15 pagi itu melibatkan seramai 115 pegawai penguat kuasa dari Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar.

“Ketika operasi, kita tidak dapat elakkan adegan yang cuba melarikan diri, berselindung di tempat tertentu, di balik tiang dan bilik terlindung. Pegawai kita sudah biasa dengan keadaan itu dan kita dapat mengatasi mengambil tindakan sewajarnya.

“Dalam operasi tersebut, seramai 473 individu diperiksa yang terdiri daripada 196 warga tempatan dan 277 warga asing berusia antrara 17 hingga 40 tahun.

“Daripada jumlah itu, seramai 236 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika, di sini.

Kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Kompleks KDN di Setia Tropika untuk tindakan selanjutnya.

Wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan itu terdiri daripada 111 warga Thailand, 43 Vietnam, empat Laos dan masing-masing seorang warga Myanmar dan China.

Turut ditahan 76 lelaki warga asing yang terdiri daripada warganegara Bangladesh, India, Pakistan, Nepal, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand dan China.

Kesemua warga asing berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Jafri Embok memberitahu, serbuan ke atas pusat hiburan tersebut bukan yang pertama,  sebaliknya akan terus memantau kawasan tersebut agar aktiviti sama tidak berulang.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus dijalankan bagi memastikan kegiatan sama tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.

More From Author

Thug Life diinspirasikan oleh Tupac Shakur, kata Kamal Haasan

Di sebalik tabir kilang Kiswah: Warisan seni Islam dipertonton kepada media global